Sejak dia menjadi anak angkat ayah saya pada awal tahun 1972, dalam Program Bakti Siswa di Kampung Kuala Menjing dan Bukit Gemuroh, dua buah kampung berjiran di Jalan Sekayu Hulu Terengganu, saya terus menerus menghubunginya. Paling kerap sejak ada perkhidmatan sms di negara kita.
Tahun 1972, saya berumur 14 tahun. Di ajak mandi sungai Tersat di Kampung Kuala Menjing bersamanya. Dia bawa tengok TV dirumah kawannya di pekan Kuala Berang. Bawa ke Dewan Syarikat Kerjasama Kuala Terengganu melihat drama lakonanya yang berwatak bersama kawan-kawannya yang menuntut di universiti bersamanya.
Pada tahun 1974 - 1975 dia menjadi guru kelas saya Empat Melayu A (4MA) juga guru Sejarah di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Jalan Sekayu. Ada tiga kenangan disekolah itu dengannya. Pertama, saya tidak pernah memberitahu kawan-kawan setingkatan bahawa dia adalah abang angkat saya. Selama dua tahun itu saya tidak pernah memanggilnya 'cikgu' atau 'abang' kerana malu sangat kepadanya. Kedua, beliau pada suatu hari memaklumkan dalam kelas kami bahawa beliau tidak mahu lagi ucapan "Selamat pagi" dan "Selamat petang" diucapkan sebaliknya mahu perkataan melayu bagi Assalamualaikum digunakan. Siapa tidak tahu makna Assalamualaikum dalam bahasa Melayu sila bangun, katanya. Ok, awak seorang saje yang duduk, sila beritahu apa maknanya. Katanya sambil menunjuk kearah saya. "Selamat Sejahtera Kepadamu" jawab saya. Ya. Mulai hari ini (tahun 1974) awak kena gunakan perkataan "Selamat Sejahtera Cikgu." Katanya. Sejak itu semua kelas menggunakan Selamat Sejahtera membayangkan pengaruhnya sudah mula bertapak disekolah itu. Saya percaya penggunaan ucapan itu hasil dari ideanya yang diterima-pakai oleh sekolah. Dia memulakan dalam kelas adik angkatnya. Bangganya saya lebih-lebih lagi dapat menterjemahkan makna Assalamualaikum bererti saya ada saham bersamanya.
Ketiga, kenangan saya dirotan olehnya ditapak tangan kerana tidak lulus Ujian Percubaan SPM mata pelajaran Sejarah. Malunya saya kena rotan abang. Saya rasa niatnya ingin menunjukan bahawa dia sangat mengambil berat kemajuan pelajaran saya. Ada beberapa pelajar sekelas yang lain juga kena. Saya berfikiran positif dan berprasangka baik, saya menganggap ia melakukannya untuk menjadikan saya berjaya sepertinya. Sejak itu saya menyimpan keazaman dan tidak mahu menemuinya sebelum berjaya. Kini saya memiliki Ijazah Kepujian (Sejarah/Sains Politik) berjawatan Pegawai Kerajaan Div. A dan pernah diajak minum bersamanya di kantin Parlimen pada tahun 2006 semasa bertugas di Pusat Media Parlimen.
Abang juga sebelum itu ada menemui saya ditempat kerja saya di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai pada tahun 1997 dan di Hospital Besar Kuantan tahun 2001 jika tak silap.
Ketika ayah saya iaitu ayah angkatnya meninggal dunia pada tahun 2002, beliau datang dan saya berjumpanya. Ketika beliau bertugas sebagai Pengarah Pelajaran Terengganu tahun 2001 kalau tak silap, dalam satu majlis depan penduduk Padang Setar/Sekayu, beliau memaklumkan bahawa beliau mempunyai ayah angkat di kawasan ini . Hingga orang ramai tertanya-tanya. " Cikgu Ismail Ketua Kampung Kuala Menjing" Katanya, disambut terkejut oleh hadirin.
Saya tahu dia seorang yang rajin bekerja dan sentiasa berharap dia berjaya keperingkat yang tertinggi dalam perkhidmatan perguruan.
Bersara atas kepentingan negara ( mengikut Akta 227, Akta Pencen) adalah dikecapi oleh segelintir penjawat awam sahaja. Abang Razali, Tan Sri Mohd Yusof Nor (Pengerusi Felda), Tun Ghazali Shafie adalah tergolong sebagai insan yang istimewa. Negara memerlukan khidmatnya. Khidmatnya diperlukan oleh negara begitu kiranya.
Mengenai politik, saya kerumahnya di Jalan Kenanga, Batu Burok, Kuala Terengganu malam kedua selepas dia bergelar YB pada tahun 2004. Antara yang diberitahu kepada saya ialah bagaimana dia terpilih menjadi calun dan dia mendapat undi yang lebih tinggi berbanding calun -calun DUN BN bagi 4 DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu. Hal ini terus berlaku pada PRU12 8 Mac 2008.
Kami sekeluarga menumpang bergembira kerana kejayaan kerjaya abang selama ini dan turut bersedih berikutan berpulangnya abang Razali ke rahmatullah.
Semoga keluarga arwah abang Razali dapat bersabar dan Semoga rohnya dicucuri rahmat. Alfatihah.
Sunday, December 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment